AJARAN ISLAM


WASIAT LUQMAN AL-HAKIM TENTANG SIFAT-SIFAT TERCELA DAN TERPUJI..

1. WASIAT LUQMAN AL-HAKIM TENTANG SIFAT-SIFAT TERCELA DAN TERPUJI Oleh Dr. Suhanim binti Abdullah (hanimsu@yahoo.com) Pensyarah Kanan, Pusat Pengajian Umum, Kolej Sastera dan Sains, Universiti Utara Malaysia, 06010 Sintok, Kedah Dr. Rosnaaini binti Hamid (rosnaaini@uum.edu.my) Pensyarah Kanan, Pusat Pengajian Ilmu Pendidikan , Kolej Sastera dan Sains, Universiti Utara Malaysia, 06010 Sintok, Kedah ABSTRAK Luqman al-Hakim merupakan seorang soleh yang dikurniakan hikmah dan kebijaksanaan oleh Allah. Beliau banyak member nasihat kepada anaknya dan hal ini dirakamkan oleh al-Quran dalam Surah Luqman. Kertas kerja ini membincangkan wasiat Luqman al-Hakim tentang sifat-sifat tercela dan terpuji. Sifat-sifat tercela merangkumi perbuatan syirik dan sombong. Manakala sifatsifat terpuji merangkumi sifat syukur, inabah, sabar dan bersederhana dalam hidup. Perkara ini tercatat pada ayat 13, 17, 18 dan 19 dalam Surah Luqman. Pengumpulan data dilakukan menerusi kaedah dokumentasi. Analisis data dibuat menerusi kaedah induktif, deduktif dan komparatif. Hasil kajian mendapati bahawa Luqman menasihati anaknya agar menjauhi sifat-sifat tercela. Seterusnya, Luqman menyarankan agar anaknya menghiasi diri dan peribadi dengan sifat-sifat terpuji. Kata kunci: Luqman al-Hakim, syirik, sombong, syukur, inabah, sabar dan kesederhanaan. Pengenalan Surah Luqman ada menceritakan tentang wasiat Luqman al-Hakim kepada anaknya. Luqman al-Hakim merupakan seorang soleh yang diberikan hikmah (kebijaksanaan) oleh Allah. Luqman al-Hakim dikatakan hidup selama seribu tahun. Beliau sempat berjumpa dengan Nabi Daud a.s. dan mengambil ilmu daripadanya. (al-Suyuti, 1996).Beliau telah memberikan nasihat-nasihat yang berguna kepada anaknya untuk dijadikan bekalan bagi menempuhi kehidupan yang penuh aneka cabaran. Sebagai seorang bapa, Luqman menyedari peranannya sebagai orang terawal yang berinteraksi dengan anaknya dan bertanggungjawab mendidik anaknya agar menjadi seorang insan yang memiliki akhlak mulia. Antara perkara yang ditekankan oleh Luqman ialah agar anaknya meninggalkan sifatsifat tercela termasuklah perbuatan syirik dan sombong. Seterusnya Luqman menasihati anaknya agar menghiasi diri dengan sifat-sifat terpuji termasuklah syukur, inabah, sabar, sederhana dalam gaya berjalan dan merendahkan suara ketika bercakap. SURAH LUQMAN Surah Luqman merupakan surah yang ke 31 mengikut susunan di dalam al-Quran dan mengandungi 34 ayat. Surah Luqman merupakan surah Makkiyah kerana kebanyakan ayatnya diturunkan di Makkah. Ayat 27, 28 dan 29 merupakan ayat Madaniyah. Sementara itu, ayat 34 diturunkan selepas surah al-Saffat (alSuyuti, 1996). Dalam surah ini, terdapat kisah tentang Luqman al-Hakim, seorang lelaki dikurniakan hikmah (kebijaksanaan) oleh 2 Allah dan ilmu tentang tauhid. Beliau memiliki

akhlak terpuji dan sentiasa menjauhkan diri daripada perkara mungkar (al-Zuhaili, 1991 dan Sayyid Qutb, 1988). Para ulama berselisih pendapat sama ada beliau merupakan seorang nabi atau lelaki soleh. Luqman al-Hakim ialah Luqman bin Ba‟uran daripada anak Uzair iaitu anak Nabi Ibrahim a.s. Beliau juga merupakan anak saudara Nabi Ayob a.s. Beliau berbangsa kulit hitam dari Nuwaibi yang terletak di Sudan. Beliau berjumpa dengan Nabi Daud a.s. dan menuntut ilmu daripada Nabi Daud a.s. Kemudian Allah SWT memberikan hikmah kepadanya. Hikmah bermaksud akal yang cerdas, kebijaksanaan ilmu dan keteguhan pendirian. Kebanyakan ulama berpendapat beliau merupakan seorang yang soleh dan bijaksana tetapi bukan seorang nabi. Beliau hanya memberi fatwa sebelum kebangkitan Nabi Daud a.s. (al-Zuhaili, 1991). Para ulama turut berselisih pendapat tentang pekerjaan Luqman. Said bin al-Musaiyab berpendapat Luqman bekerja sebagai tukang jahit. Sementara itu, Ibnu Zaid mengatakan Luqman merupakan seorang pengembala. Khalid al-Rubaie mengatakan beliau merupakan seorang peniaga (al-Jauzi, 1987). Selain itu, ulama juga berselisih pendapat tentang perkataan Luqman sama ada berasal daripada Bahasa Arab atau bukan Arab. Sekiranya bukan perkataan Arab, Luqman Surah Luqman terkenal dengan wasiat Luqman kepada anaknya. Terdapat pelbagai pendapat para ulama mengenai nama anak Luqman. Ada tiga nama yang disebut oleh para ulama iaitu An‟am, Mushkam dan Tharan. (Abi Muhammad Husaini bin Mas‟ud, 1993 dan alZuhaili, 1991). Beliau Berjaya mendidik anaknya agar memeluk Islam (al-Burusawi, t. th.) Wasiat Luqman menjadi pengajaran dan petunjuk kepada semua manusia dalam usaha mendidik diri sendiri serta anak-anak agar memiliki sifat-sifat terpuji dan berusaha menjauhkan diri daripada sifat-sifat tercela. KEPENTINGAN PENDIDIKAN AKHLAK TERHADAP ANAK Anak merupakan amanah daripada Allah SWT. Ibu bapa bertanggungjawab memberi pendidikan yang baik kepada anak termasuklah pendidikan akhlak. Anak menjadi tempat pergantungan ibu bapa apabila mereka sudah uzur dan lanjut usia. Anak berperanan sebagai penghibur kepada ibu bapa semasa hidup di dunia. Pada hari akhirat nanti, anak merupakan tanaman yang harum di syurga.Hal ini bertepatan dengan firman Allah dalam Surah al-Kahfi (18:46) Terjemahan: Harta dan anak-anak adalah perhiasan hidup di dunia. Anak-anak merupakan penyejuk mata kepada kedua ibu bapa seperti firman Allah dalam Surah al-Furqan (25:74) Terjemahan: Wahai Tuhan Kami, anugerahkan kepada kami isteri dan anak-anak yang menyenangkan hati kami. Anak-anak juga boleh mendatangkan keburukan kepada kedua orang tuanya jika mempunyai tabiat buruk dan banyak melakukan maksiat. Justeru Allah memerintahkan agar ibu bapa melaksanakan tanggungjawab mendidik anak melakukan ketaatan kepada Allah di samping memiliki akhlak terpuji. Hal ini supaya mereka terselamat daripada siksaan api neraka di akhirat nanti. Firman Allah dalam Surah al-Tahrim (66:6) 3 Terjemahan: Hai orang-orang yang beriman. Lindungilah dirimu dan keluargamu daripada api neraka yang bahan bakarnya terdiri daripada manusia dan batu. Rasulullah SAW menasihati orang beriman agar menunaikan amanah kerana perkara tersebut akan dipertanggungjawabkan pada hari akhirat kelak. Rasulullah SAW bersabda: Terjemahan: Setiap kamu adalah pemelihara, dan setiap kamu akan dipertanggungjawabkan tentang orang-orang di bawah tanggungjawabmu. (Sunan Abi Daud. Kitab al-Kharaj wa al-Imarah wa al-Fai‟i. Bab Ma Yalzim al-Imam Min Haq alRa‟iyyah) Seorang anak tidak mengetahui tentang kesukaran berhadapan dengan cabaran hidup. Dia juga jahil tentang kewajipan sebagai khalifah Allah. Seterusnya seorang anak sukar membezakan antara sifat-sifat tercela dan terpuji. Justeru menjadi kewajipan ibu bapa memberi pendidikan termasuklah pendidikan akhlak agar seorang anak tidak terpengaruh dengan gejala negatif dan boleh merosakkan tingkah laku dan masa depannya. Ibu bapa perlu menunjukkan contoh teladan yang baik kepada anaknya. Mereka perlu mempamerkan akhlak yang terpuji dan menjauhkan diri dari akhlak yang buruk.
 Mereka juga perlu melatih anaknya agar membiasakan diri dengan akhlak terpuji dan menjauhi akhlak buruk (Muhammad Nur Suwaid, 1998). Wasiat Luqman al-Hakim kepada anaknya boleh dijadikan teladan oleh para ibu bapa dalam usaha memupuk tabiat yang baik kepada anak-anak. Para sahabat sering bertanya Rasulullah SAW tentang pendidikan yang diberikan oleh Luqman kepada anaknya. Justeru Allah SWT menurunkan ayat 12-19 yang terkandung dalam Surah Luqman bagi menceritakan tentang kaedah pendidikan anak yang dilaksanakan oleh Luqman al-Hakim . Pendidikan Luqman al-Hakim amat menekankan pembinaan sahsiah yang mulia dikalangan anak-anak. Hal ini termasuklah melarang anaknya melakukan perbuatan buruk seperti syirik dan sombong. Luqman alHakim juga mengajar dan membiasakan anaknya melakukan akhlak terpuji seperti syukur, inabah, sabar, sederhana dalam gaya berjalan dan merendahkan suara ketika bercakap. Pendidikan Luqman jelas mencakupi hubungan dengan Allah dan hubungan sesama manusia. Pendidikan merupakan perkara yang amat penting dalam kehidupan setiap anak. Ibu bapa tidak boleh mengabaikan pendidikan terhadap anak-anaknya. Sebaliknya ibu bapa perlu berusaha memberi pendidikan secara berterusan dan tanpa jemu terhadap anakanak. Dengan mengaplikasi kaedah pendidikan Luqman, ibu bapa diharapkan dapat membentuk anak-anak yang tinggi akhlaknya dan berjaya dalam kehidupan mereka di dunia dan akhirat. SIFAT-SIFAT TERCELA Syirik Luqman al-Hakim melarang anaknya daripada melakukan syirik iaitu menyekutukan Allah SWT. Hal ini kerana pendidikan akidah merupakan asas utama ajaran Islam. Hanya amal ibadat yang bersih daripada sebarang bentuk syirik akan diterima oleh Allah. Firman Allah SWT dalam Surah al-Jin (72:20): Terjemahan: 4 Katakanlah (wahai Muhammad): Sesungguhnya aku hanya beribadat kepada Tuhanku semata-mata dan aku tidak mempersekutukannya dengan sesiapapun. Mempersekutukan Allah merupakan bayang-bayang yang menipu dan memperdayakan kesucian akidah. Al-Shibli (m.334H/945M) berkata, “Jangan sekali-kali kamu tertipu oleh bayang-bayang. Segala sesuatu selain Allah diibaratkan seperti bayang-bayang. Jika seseorang cenderung kepada bayang-bayang, maka dia telah tertipu (al-Tusi, 2001). Syirik dilarang oleh Islam kerana perbuatan syirik merosakkan akidah yang benar. Takrif syirik ialah sebarang pernyataan atau ungkapan yang meletakkan kedudukan Allah SWT setaraf dengan makhluk sama ada pada zat atau sifat. Syirik juga bermaksud mengingkari kewujudan Allah SWT atau menyifatkan Allah SWT dengan sesuatu sifat kekurangan. Luqman melarang anaknya daripada mempersekutukan Allah SWT dalam ibadat, percakapan dan perbuatan. Sebaliknya, Luqman mengingatkan anaknya agar bersifat ikhlas dalam beriman kepada Allah SWT (Tantawi, 1985) Syirik yang dimaksudkan dalam surah Luqman merujuk kepada syirik uluhiyyah kerana Luqman menegaskan kepada anaknya bahawa perbuatan syirik sama seperti melakukan kezaliman kepada Allah SWT. Firman Allah SWT dalam ayat 13: Terjemahan: Sesungguhnya perbuatan syirik itu adalah satu kezaliman yang besar. Pengertian zalim ialah meletakkan sesuatu bukan pada tempatnya manakala perkataan adil bermaksud meletakkan sesuatu pada tempatnya. Seseorang yang menyamakan antara pencipta dengan makhluk atau menyamakan Allah SWT dengan berhala dikatakan sebagai orang yang meletakkan sesuatu bukan pada tempatnya. Oleh itu, orang yang syirik dikatakan telah melakukan satu kezaliman dan dosa besar kepada Allah SWT (Ala‟ al-din Ali, 1994 dan Muhammad Mahmud, 1992) Luqman alHakim melarang anaknya supaya jangan melakukan syirik kerana ada pendapat mengatakan bahawa anaknya seorang musyrik. Justeru beliau sentiasa mengingatkan anaknya agar memeluk Islam. Ada ulama berpendapat bahawa anak Luqman al-Hakim merupakan seorang muslim. Justeru larangan syirik terhadap anaknya merupakan satu peringatan agar anaknya tidak melakukan perbuatan syirik sepanjang hidupnya. Dengan meneliti kedua-dua pandangan tersebut, al-Alusi merumuskan bahawa nasihat Luqman
alHakim bertujuan menghentikan perbuatan syirik (al-Alusi, 1994) Luqman al-Hakim memberi perhatian utama tentang larangan syirik. Beliau telah mengulang larangan tersebut sebanyak dua kali; iaitu ayat 13 dan 14 daripada Surah Luqman. Hal ini disebabkan perbuatan syirik merupakan dosa yang amat besar dan tidak akan diampunkan oleh Allah. Firman Allah dalam surah al-Nisa: 48 Terjemahan: Sesungguhnya Allah SWT tidak akan mengampuni dosa syirik dan Dia akan mengampuni dosa-dosa lain bagi sesiapa yang dikehendakiNya. Sombong Luqman al-Hakim memberi peringatan kepada anaknya agar menjauhi sifat sombong kerana sifat tersebut mengundang kemurkaan Allah SWT. Firman Allah dalam ayat 18 daripada surah Luqman; Terjemahan: Sesungguhnya Allah tidak suka kepada orang-orang yang sombong dan membangga diri. 5 Perkataan mukhtal bermaksud orang yang berjalan dengan gaya sombong dan takbur termasuklah gaya berjalan yang melenggang-lenggok kerana kegembiraan mendapat nikmat yang banyak. Manakala perkataan fakhur bermaksud orang yang selalu memuji diri sendiri dan menghina orang lain yang tidak sama seperti dirinya (al-Zuhaili, 1991). Perkataan fakhur juga bermaksud sifat buruk yang dinisbahkan kepada orang yang berpaling muka kerana sombong (al-Alusi, 1994). Luqman melarang anaknya bersikap sombong dan angkuh melalui nasihat yang sopan. Hal ini dapat difahami menerusi ayat 18 daripada surah Luqman; Terjemahan; Dan janganlah kamu memalingkan muka kamu dari manusia (kerana sombong) Antara akhlak yang baik apabila bercakap dengan manusia ialah memandang ke arah mereka dengan wajah ceria dan tidak menunjukkan sikap sombong (al-Urami, 2001). Orang yang memalingkan muka daripada manusia lain kerana sombong diibaratkan sebagai unta yang sakit dan kejang lehernya (al-Shaukani, 1993). Seterusnya untuk menjauhkan diri daripada sikap sombong, Luqman melarang anaknya berjalan dengan gaya angkuh. Firman Allah SWT dalam ayat 18 daripada surah Luqman; Terjemahan: Dan janganlah engkau berjalan di bumi dengan langkah yang angkuh. Perkataan marahan bermaksud cara berjalan melenggang-lenggok kerana gembira mendapat nikmat yang banyak tetapi memandang remeh nikmat yang diberi lantaran hati terhijab. Hal tersebut akan melahirkan sifat besar diri, tidak bersyukur kepada Allah SWT dan tidak menggunakan nikmat dengan cara yang betul (al-Zuhaili, 1991). Luqman melarang anaknya daripada bersikap sombong kerana sifat sombong merupakan akhlak orang kafir. Seorang tokoh sufi berkata : Ketika Allah SWT selesai mencipta syurga Adnin, lalu Allah SWT memandang ke arah syurga tersebut sambil berkata : Engkau adalah haram bagi orang-orang yang takbur (sombong). Oleh itu sifat sombong perlu dihapuskan dengan sempurna supaya usaha memperbaiki diri dapat berjalan lancar. Sebaliknya, Luqman menyarankan anaknya agar sentiasa bersikap tawadhu‟ kerana sifat ini merupakan akhlak para nabi dan orang-orang soleh. Sifat tawadhu‟ sangat diburu oleh orang-orang soleh kerana sifat tersebut dapat menimbulkan mahabbah iaitu kecintaan kepada Allah.(alGhazali, t.th.) SIFAT-SIFAT TERPUJI Syukur Antara akhlak mulia yang ditekankan dalam surah Luqman ialah konsep bersyukur kepada Allah dan kedua ibu bapa. Firman Allah SWT dalam ayat 14 daripada surah Luqman: Terjemahan: Bersyukurlah kepada Aku dan kedua ibu bapa kamu. Allah SWT memerintahkan agar setiap orang anak bersyukur kepada Allah SWT dan kedua ibu bapa. Perintah bersyukurlah kepadaku (Allah SWT) kerana Allah merupakan pemberi nikmat. Perintah bersyukurlah kepada kedua ibu bapa kerana mereka merupakan sebab bagi kelahiran seseorang anak dan merekalah yang memberi pendidikan sempurna kepada seseorang anak (al-Zuhaili, 1991). 6 Kedua-dua perintah ini mempunyai kaitan rapat. Gandingan ayat ini juga menunjukkan Allah SWT memuliakan pendidikan Luqman yang melarang anaknya daripada melakukan syirik terhadap Allah. Justeru Allah memerintahkan seseorang anak agar mentaati ibu bapa termasuklah Luqman al-Hakim yang sentiasa memberikan pendidikan terbaik untuk
 anaknya. Sifat bersyukur kepada Allah hanya akan diterima setelah terlebih dahulu bersyukur kepada kedua ibu bapa. Justeru sesiapa yang bersyukur kepada Allah SWT tetapi tidak bersyukur kepada kedua ibu bapa tidak diterima kesyukuran tersebut (alGhazali,t.th.) Ulama tafsir berselisih pendapat tentang konsep syukur kepada kedua ibu bapa dengan konsep syukur kepada Allah SWT. Syukur kepada kedua ibu bapa bermaksud melaksanakan tanggungjawab besar yang dipikul oleh setiap orang anak terhadap kedua ibu bapa mereka (al-Shaukani, 1993). Tanda kesyukuran anak kepada kedua ibu bapa seperti menjaga kedua ibu bapa semasa lanjut usia dan sakit, menghiburkan hati, menunjukkan raut wajah yang manis semasa berinteraksi dan memberi nafkah untuk menampung keperluan hidup. Hal tersebut merupakan ciri-ciri seorang anak yang bersyukur kepada kedua ibu bapa. Konsep bersyukur kepada Allah ialah berterima kasih kerana diberikan hikmah melalui pelbagai cara sama ada melalui ilham, wahyu atau pembelajaran (Abd al-Mun‟im Ahmad Tu‟ailab, 1990). Al-Darini (m.697H/1299M) menceritakan tentang hakikat syukur sebenar yang dikehendaki oleh Allah. Beliau menceritakan bahawa Allah SWT telah mewahyukan kepada sebahagian para nabi, “Janganlah kamu melihat kepada sedikitnya pemberian, tetapi lihatlah kepada Agungnya Zat yang memberi. Janganlah kamu melihat kepada kecilnya dosa, tetapi lihatlah kepada besarnya Zat yang kamu akan mengadap bersama dosa kamu (al-Darini, t.th.). Apabila melihat kepada keagungan Allah, akan kelihatan kelemahan diri yang amat berhajat kepada pertolonganNya. Perkara ini menuntut kesyukuran sebenar dari seorang hamba. Ibn Mas‟ud berpendapat : Syukur merupakan separuh daripada iman. Oleh itu orang yang tahu bersyukur kepada Allah SWT termasuk ke dalam golongan orang-orang yang beriman. Manakala Al-Shibli pula berkeyakinan pengertian syukur telah memperlihatkan sifat kemurahan Allah SWT. Beliau berkata : Syukur memperlihatkan pemberi nikmat bukan memperlihatkan nikmat. Sesungguhnya syukur berjaya membentuk seseorang itu menjadi lembut hati dan bersopan santun terhadap Allah SWT. (al-Ghazali,t.th.) Inabah Luqman mengingatkan anaknya agar segera kembali (inabah) kepada Allah apabila melakukan kesilapan. Firman Allah SWT dalam ayat 15 daripada surah Luqman. Terjemahan; Dan ikutilah jalan orang yang kembali kepadaKu… Ayat ini mempunyai asbab al-Nuzul iaitu sebab penurunan ayat. Peristiwa ini berlaku semasa pengislaman Abu Bakar al-Siddiq r.a., kemudian diikuti oleh Saad bin Abi Waqas, Abd al-Rahman bin Auf, Said bin Zaid, Uthman bin Affan, Talhah dan al-Zubair bin Awwam. Mereka telah bertanya kepada Abu Bakar r.a. sebelum mereka memeluk Islam. Mereka berkata: Adakah engkau beriman dan percaya kepada Muhammad? Abu Bakar r.a. menjawab: Ya. Aku ikut Rasulullah SAW, aku beriman dan aku percaya kepadanya. Lalu para sahabat tersebut pergi berjumpa Rasulullah SAW dan memeluk Islam. Lalu ayat ini dikatakan diturunkan kepada Saad bin Abi Waqas. (Muhammad Ali al-Sayyas, 1994 dan Abi al-Hassan Ali, 1995) Dalam ayat 15 daripada surah Luqman, frasa orang yang kembali kepadaKu membawa maksud orang yang telah menerima kewajipan mentaati agama iaitu Rasulullah SAW dan 7 para sahabat (Abi Muhammad Husaini, 1993). Frasa orang yang kembali kepadaKu juga ditafsirkan merujuk kepada Abu Bakar r.a. (Muhammad Ali al-Saiyas, 1994 dan Abi alHassan Ali, 1995). Walaupun begitu, jumhur ulama tafsir berpendapat frasa orang yang kembali kepadaKu merujuk kepada sesiapa sahaja daripada orang Islam yang melakukan kebaikan (Muhammad Ali al-Saiyas, 1994). Cara mengikuti jalan orang yang kembali kepada Allah SWT ialah melalui taubat dan menunaikan perkara secara taat dan ikhlas kepada Allah SWT. (al-Zuhaili, 1991). Pendapat ini disokong oleh al-Shaukani yang mengatakan orang yang kembali kepada Allah merujuk kepada orang soleh yang bertaubat dan ikhlas dalam amalan (Al-Shaukani, 1993) Perkataan inabah pada bahasa membawa maksud pulang dan kembali kepada sesuatu. Pada istilah, inabah bermaksud taubat daripada syirik dan kembali
kepada Islam, seterusnya mengikuti jejak nabi SAW. Hal ini selari dengan tuntutan supaya menunaikan suruhan Allah SWT dengan mengikuti jalan taubat dan menjauhi larangan Allah SWT (alZuhaili, 1991). Allah SWT sangat suka kepada orang yang bertaubat. Firman Allah SWT dalam Surah al-Baqarah (2:222) Terjemahan; Sesungguhnya Allah SWT menyukai orang-orang yang bertaubat dan orang-orang yang menyucikan diri. Rasulullah SAW menyuruh supaya bertaubat atas kesalahan yang dilakukan kerana sebaikbaik orang yang melakukan kesalahan ialah orang yang sentiasa bertaubat. Rasulullah SAW bersabda: Terjemahan: Setiap anak Adam melakukan kesalahan. Sebaik-baik orang yang melakukan kesalahan ialah orang yang sentiasa bertaubat. Menurut Dhu al-Nun al-Misri, taubat pada pandangan Islam terbahagi kepada dua; 1.Taubat inabah iaitu seseorang hamba menyesal atas segala perbuatannya dan berasa takut terhadap kemarahan Allah SWT. 2.Taubat kerana malu iaitu apabila seseorang hamba berasa menyesal dan malu lantaran kemuliaan Allah SWT dan lahir perasaan takut daripada penyingkapan kasyaf dengan yang Maha Perkasa dan lahir perasaan malu daripada pandangan Yang Maha Indah (Ghani dan Qasim, 1970) Sabar Luqman al-Hakim menasihati anaknya agar bersabar setelah beliau menyuruh anaknya mendirikan solat dan melaksanakan amar makruf dan nahyi mungkar. Beliau memulakan nasihat kepada anaknya supaya mendirikan solat kerana solat merupakan tiang agama. Seterusnya apabila seseorang melaksanakan amar makruf dan nahyi mungkar pada kebiasaannya akan berhadapan dengan pelbagai kesusahan yang menyakitkan hati. Justeru Luqman mengakhiri nasihatnya supaya bersabar kerana sabar merupakan asas untuk melaksanakan segala bentuk ketaatan. Seseorang yang bersabar akan mendapat keredaan Allah SWT. (al-Zuhaili, 1991, Muhammad al-Razi, 1995). Firman Allah SWT dalam surah al-Baqarah (2:45) 8 Terjemahan: Jadikanlah solat dan sabar sebagai penolong kamu. Sesungguhnya perkara yang demikian itu amat berat kecuali bagi orang-orang yang khusyuk. Maksud sabar dalam ayat tersebut ialah sanggup menempuh segala kesusahan kerana kehidupan di dunia penuh dengan kepedihan dan kepayahan. Justeru Islam menganjurkan agar seseorang itu bersabar menanggung segala penderitaan. Manakala kesenangan dan nikmat hanya ada apabila seseorang berjaya mendapat syuga Allah SWT (Tantawi, 1985). Sifat sabar yang dianjurkan oleh Luqman al-Hakim termasuklah sabar ketika diuji oleh Allah SWT dengan ketakutan terhadap musuh, kelaparan kerana ketiadaan makanan, kehilangan harta benda dan nyawa. Hanya orang yang bersabar akan mendapat rahmat daripada tuhannya (alBurusawi, t. th.). Firman Allah SWT dalam Surah al-Baqarah (2:153) Terjemahan: Sesungguhnya Allah bersama orang-orang yang sabar. Sesiapa yang bersabar atas kefakiran, kesabaran tersebut merupakan asas bala yang berkehendakkan seseorang untuk mendekatkan diri kepada Allah SWT sedekat-dekatnya (al-Hujwiri, 1974).al-Junaid (m.298H/911M) berkata “Kefakiran ialah lautan bala. Sementara keseluruhan bala adalah kemuliaan” (al-Tusi, 2001). Justeru Dhu al-Nun al-Misri (m.246H/859M) meletakkan bala sebagai otak orang mukmin sehingga menjadi rosak pula hal seseorang jika ketiadaan bala dalam hidupnya. Beliau berkata “Bala ialah otak orang mukmin. Apabila hilang bala, maka rosaklah halnya” (al-Manawa, 1938). Sabar adalah sifat mulia yang perlu ditanam dalam jiwa seseorang kerana orang yang sabar terselamat daripada melakukan kesilapan atau lalai terhadap tanggungjawabnya. Orang sabar juga sentiasa reda dengan takdir dan kehendak Allah SWT. Fudayl bin Iyyad, seorang tokoh sufi terkemuka apabila ditanya tentang sabar beliau berkata : Sabar ialah reda dengan qada‟ (takdir) Allah SWT. Oleh itu semakin tinggi kesabaran seseorang semakin kuatlah dia reda dan bersyukur dengan Allah SWT. Sederhana Dalam Gaya Berjalan Luqman al-Hakim mendidik anaknya agar mengutamakan sifat sederhana dalam kehidupan. Beliau memberi penekanan terhadap gaya berjalan dan cara bercakap yang dianjurkan oleh Islam. Luqman al-Hakim
 menjelaskan cara berjalan yang sesuai setelah menjelaskan larangan berjalan di muka bumi dengan angkuh dan sombong. Firman Allah dalam ayat 19 daripada surah Luqman; Terjemahan; Dan hendaklah bersederhana dalam cara kamu berjalan Luqman al-Hakim menerangkan cara berjalan yang baik iaitu dengan gaya sederhana. Sederhana dalam berjalan bermaksud seseorang itu tidak berjalan terlalu lambat seperti orang tidak bertenaga, dan tidak pula terlalu cepat seperti orang yang tergopoh-gapah. Hendaklah berjalan dengan tenang dan penuh kesopanan. Kesederhanaan melangkah sewaktu berjalan menggambarkan ketenangan jiwa dan kesopanan tingkah laku. Sifat tenang dan sopan santun merupakan budi pekerti mulia yang sangat dituntut oleh Islam (alJauzi, 1987) 9 Gaya berjalan secara sederhana menggambarkan cara berjalan orang yang bercita-cita tinggi, berjiwa besar dan gagah berani. Sebaliknya berjalan dengan tergopoh-gapah akan menghilangkan keindahan dan kecantikan seorang mukmin. Selain daripada itu, berjalan terlalu cepat akan meletihkan apabila seluruh anggota tubuh badan digerakkan secara pantas (al-Zuhaili, 1991). Kesederhanaan mampu melahirkan rasa rendah diri yang menjadi ciri utama golongan mukmin sejati. Firman Allah SWT dalam Surah al-Furqan (25:63) Terjemahan: Dan hamba-hamba Tuhan yang Maha Penyayang itu ialah orang-orang yang berjalan di atas bumi dengan rendah hati. Apabila orang jahil menyapa, mereka mengucapkan katakata yang baik. Perkataan rendah hati bermaksud tenang dan sederhana (Ibn Kathir, 1998). Hamba Allah SWT yang soleh ialah orang yang berjalan di atas muka bumi dengan lemah-lembut dan tawaduk (al-Ghazali, t.th.). Pada suatu hari, Umar al-Khattab melihat seorang lelaki tidak bermaya. Umar al-Khattab berkata “Angkatlah muka kamu. Sesungguhnya Islam itu bukanlah orang-orang yang sakit belaka”. (al-Alusi, 1994). Menurut Ibnu Mas‟ud, “Janganlah berjalan terlalu cepat kerana meniru cara orang Yahudi. Dan jangan berjalan terlalu lambat kerana meniru cara orang Nasrani. Sebaikbaiknya ialah mengambil jalan tengah antara keduanya (al-Alusi,1994). Selain itu, berjalan di hadapan orang yang lebih baik dan mulia kedudukannya juga dipandang tidak beradab seperti yang diceritakan oleh Abu Darda‟ (m.32H/653M). Beliau berkata: Aku berjalan di hadapan Abu Bakar al-Siddiq (m.13H/634M). Maka Rasulullah SAW berkata kepadaku, “Apakah kamu berjalan di harapan orang yang lebih baik daripada kamu di dunia dan akhirat ? (al-Suhrawardi, 1973). Antara adab yang baik ialah mengelakkan diri daripada berjalan di hadapan orang yang lebih mulia. Rendahkan suara Pertuturan dan percakapan merupakan perilaku lahir yang menjadi ukuran budi pekerti seseorang. Luqman menasihati anaknya supaya bercakap dengan suara yang lembut, tidak keras dan kasar. Firman Allah SWT dalam ayat 19 daripada surah Luqman; Terjemahan: Dan lunakkanlah suara kamu. Sesungguhnya seburuk-buruk suara ialah suara keldai. Apabila bercakap, seseorang itu disarankan agar mengawal suara mengikut keperluan dan kesesuaian keadaan sekeliling. Selain itu, suara yang rendah menyebabkan mesej yang ingin disampaikan lebih mudah untuk difahami oleh pendengar. Seseorang tidak boleh meninggikan suara melebihi keperluan terutama apabila melaksanakan amar makruf dan nahyi mungkar. Di samping itu, seseorang dituntut agar merendahkan suara semasa berdoa dan bermunajat kepada Allah SWT. Hal ini kerana Allah itu Maha Mendengar segala permohonan hambaNya (Ibn al-Munir, 1994). Perbuatan merendahkan suara ketika bercakap mempamerkan kehalusan budi pekerti. Seseorang yang bercakap dengan nada yang rendah menggambarkan bahawa dirinya memiliki kepercayaan kepada diri sendiri dan keyakinan bahawa perkara yang diperkatakan adalah benar dan boleh diterima akal. Sebaliknya, perbuatan bercakap dengan suara tinggi 10 dan melebihi had keperluan menyebabkan percakapan tersebut menjadi buruk pada para pendengar. Hanya orang-orang yang biadab bercakap dengan suara yang keras dan bahasa yang kesat. Pada kebiasaannya, seseorang yang ragu tentang nilai perkataan atau nilai dirinya akan berusaha melindungi keraguan tersebut
dengan kata-kata yang tajam, kasar dan keras (Sayyid Qutb, 1988). Kadar kekuatan suara diberi perhatian oleh al-Quran. Allah SWT membidas orang yang bercakap dengan suara yang tinggi seperti suara keldai. Firman Allah SWT dalam Surah Luqman, ayat 19: Terjemahan: Sesungguhnya seburuk-buruk suara ialah suara keldai. Himar ialah binatang yang menjadi sebutan dalam kalangan masyarakat Islam untuk tujuan celaan dan maki hamun. Masyarakat Arab menggelar keldai sebagai binatang bertelinga panjang. Perkara ini menggambarkan sesuatu yang hodoh pada pandangan mata. Justeru meninggikan suara apabila bercakap merupakan akhlak yang buruk pada pandangan masyarakat. Sifat suara keldai adalah hodoh kerana awalnya ialah zafir iaitu seperti bunyi tiupan seruling dan akhirnya shahiq iaitu bunyi tarikan nafas yang tersekat-sekat (Muhammad al-Razi Fakh alDin, 1995). Seburuk-buruk suara manusia ialah mereka yang meninggikan suara tanpa keperluan. Luqman al-Hakim menggambarkan orang yang meninggikan suara ibarat meniru suara keldai. Hal ini disebabkan perangai keldai yang buruk. Kebanyakan binatang hanya berbunyi apabila berasa kesempitan atau penat. Sebaliknya keldai akan berbunyi walaupun ia tidak penat dan tidak mempunyai apa-apa keperluan. Bunyi keldai yang amat buruk dikatakan sama seperti bunyi suara ahli-ahli neraka (Ala al-Din, 1994) Kesimpulan Luqman al-Hakim merupakan seorang bapa yang berusaha mendidik anaknya agar berakhlak mulia. Hal ini kerana akhlak mulia boleh membawa kepada kesejahteraan hidup di dunia dan akhirat. Sebaliknya akhlak buruk akan mengundang pelbagai masalah dan kepincangan dalam masyarakat. Luqman al-Hakim mendidik anaknya semenjak kecil kerana pendidikan pada peringkat awal berkesan membentuk peribadi seseorang anak setelah mereka dewasa kelak. Selain itu, pendidikan Luqman juga merangkumi hubungan dengan Allah dan hubungan dengan masyarakat sekeliling. Hubungan yang baik dengan Allah diterapkan melalui usaha menanamkan akidah yang mantap ke dalam jiwa anaknya dan mewujudkan perasaan ubudiyah kepada Allah SWT. Hubungan dengan manusia dimulai dengan didikan supaya menghormati dan berterima kasih kepada kedua ibu bapa. Seterusnya Luqman juga mengajar anaknya supaya bersopan-santun sewaktu berinteraksi dengan masyarakat sekeliling. Hal ini dapat membentuk anak yang mempunyai akhlak dan personaliti yang seimbang. Para ibu bapa boleh mencontohi kaedah pendidikan Luqman terhadap anaknya kerana pendidikan tersebut sesuai diaplikasikan sepanjang zaman.
 Bibliografi Abi al-Hassan Ali bin Ahmad al-Wahidi al-Nisaburi. 1995. Asbab al-Nuzul. Kaherah:
Dar alHadis Ala‟ al-Din Ali bin Muhammad al-Baghdadi. 1994. Lubab al-Ta‟wil fi Ma‟ani al-Tanzil. Beirut: alYamamah Littiba‟ah Wa al-Nashr wa al-Tauzi‟. Al-Alusi, Abi al-Fadhil Shihab al-Din.1994. Ruh al-Maani fi Tafsir al-Quran al-Azim wa Sibaq al-Musani. T.tp.: Dar al-Fikr Al-Baghawi. 1993. Abi Muhammad Husaini bin Mas‟ud al-Fira‟. Mu‟allim al-Tanzil. Beirut: Dar al-Kutub. Al-Burusawi, Sheikh Ismail Haqqi. t. th. Tafsir Ruh al-Bayan. Beirut: Dar al-Fikr AlDarini, Abd al-Aziz. t.th. Kitab Taharah al-Qulub wa al-Khudu‟ li alam al-Ghuyub. T.tp: T.pt. Al-Ghani dan Qasim. 1970. Tarikh al-Tasawuf Fi al-Islam. Kaherah: Maktabah alNahdah alMisriyah. Al-Ghazali, Abi Hamid bin Muhammad. t.th. Ihya‟ Ulum al-Din (Jilid 3 dan 4). Mesir: Maktabah wa Matba‟ah Muhammad Ali Sabih wa Auladuhu. Al-Hujwiri, Abu al-Hassan Ali bin Uthman. 1974. Kashf al-Mahjub al-Fah Bi alFarisiyah. (terj. Mahmud Ahmad Madi Abu al-Azaim). Kaherah: Dar al-Turath al-Arabi lil altiba‟ah wa alNash wa al-Tauzi‟. Ibn al-Munir Nasir al-Din Abi al-Abbas. 1994. Al-Taisir al-Ajib fi Tafsir al-Gharib. Beirut: Dar al-Ghurub al-Islami. Ibn Kathir. 1998. Tafsir al-Quran al-Azim. Beirut: Dar Ibn Hazm. Al-Jauzi, Abi al-Firaj Jamal al-Din Abd al-Rahman. 1987. Zad al-Maasir fi ilm alTafsir. Beirut: Maktabah al-Islami. Al-Manawa, Abd al-Rauf. 1938. Al-Kawakib al-Durriyah Fi Tarajim al-Sadah alSufiyah. Jil. 1 dan 2. T.Tp: T.pt. Muhammad Ali al-Sayyas (et.al.). 1994. Tafsir Ayat al-Ahkam. Beirut: Dar Ibn Kathir Muhammad al-Razi Fakh al-Din. 1995. Al-Tafsir al-Kabir wa Mafatih al-Ghaib. Beirut: Dar alFikr Muhammad Mahmud Hijazi. 1992. Al-Tafsir al-Wadih. Kaherah: Dar al-Tafsir Littiba‟ah wa al-Nashr Muhammad Nur Abd al-Hafiz Suwaid. 1998. Manhaj al-Tarbiyah al-Nabawiyah lil Tifl ma‟a namazaj tatbiqiyah min hayati al-Salaf al-Soleh wa Ahwal al-Ulama al-Amilin. Beirut: Dar Ibn Kathir. Sayyid Qutb. 1988. Fi Zilal al-Quran (Juzu‟ 5). Beirut: Dar al-Syuruk Al-Shaukani, Muhammad bin Ali. 1993. Fath al-Qadir al-Jami‟ baina Fanni alRiwayah wa alDirayah min ilm al-Tafsir. Kaherah: Dar al-Haramain Al-Suhrawardi, Abd al-Qahir bin Abd Allah. 1973. Awarif al-Ma‟arif. Mesir: Maktabah alKaherah. Al-Suyuti, Jalal al-Din Muhammad bin Ahmad al-Mahalli dan Jalal al-Din Abdul Rahman bin Abi Bakr. 1996. Tafsir Imam al-Jalalain. Kaherah: Dar al-Hadis Tantawi, Muhammad Sayyid. 1985. al-Tafsir al-Wasit li al-Quran al-Karim. Mesir: Dar alMaarif. Al-Tusi, Abu Nasr Abd Allah bin Ali al-Sarraj. 2001. Al-Luma‟ Fi Tarikh al-Tasawuf alIslami. Kamil Mustafa al-Nadawa (ed.). Beirut: Dar al-Kutub al-Alamiyah Al-Urami, Muhammad al Amin bin Abdullah. 2001. Tafsir Haqaiq al-Ruh wa alRaihan. T.tp.: Dar tauq al-Nahah. Al-Zuhaili, Wahbah. 1991. Al-Tafsir al-Munir fi al-Aqidah wa al-Shariah wa alManhaj. Lebanon: Dar al-Fikr al-Mu‟asir.

Komentar